Tuesday, 9 May 2017

PERANG UHUD [ [ BAB 7 - PERSIAPAN UNTUK BERPERANG ]






PERSIAPAN UNTUK BERPERANG








15 Sya'ban 3 Hijrah / Februari 625 Masihi

Suasana di sekeliling Kaabah hening seketika. Orang ramai menumpukan perhatian kepada para pemimpin mereka yang berdiri di hadapan Kaabah. Masing-masing begitu berminat mendengar apa yang diucapkan oleh Abu Sufian bin Harb, Abdullah bin Abi Rabiah, Ikramah bin Abu Jahal, Safwan bin Umaiyah, Khalid Al-Walid dan Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Wahai orang Quraisy, Muhammad dan para pengikutnya sudah membuat angkara terhadap kita. Mereka menyekat semua laluan ke Syam menyebabkan kafilah dagang kita tidak dapat lagi melaluinya. Beberapa percubaan dilakukan oleh mereka sehingga berani untuk melepasi sekatan itu. Tetapi mereka diserang dan barang-barang dagangan mereka habis dirampas. Jika keadaan ini berterusan kita tidak dapat berniaga ke Syam. Barang-barang kita tidak boleh dijual dan barang-barang dari luar tidak boleh dibawa masuk. Akhirnya kita akan mati kebuluran. Sanggupkah kamu menghadapinya?" kata Abu Sufian dengan penuh semangat.

     "Kami tidak sanggup!" teriak orang ramai.

     "Bunuh Muhammad!" teriak mereka lagi.

     "Kita serang Madinah!" teriakan itu bergema ke angkasa.

     Abu Sufian kelihatan gembira kerana orang ramai memberi sokongan pada ucapannya.

     Kemudian dia memandang ke arah Abbas bin Abdul Mutalib lalu berkata, "Ketika aku sedang bercakap, Abbas seolah-olah tidak mendengarnya. Kemudian, sewaktu orang ramai berteriak memberi sokongan dia berdiam diri. Apakah dia tidak setuju? Aku memberi peluang untuk dia berkata-kata."

     Orang ramai menumpukan perhatian pada Abbas bin Abdul Mutalib. Walaupun orang ramai kurang senang dengan keluarga Bani Hasyim yang sering menyebelahi Nabi Muhammad, namun Abbas tetap diperlukan kerana dia mewakili keluarga Abdul Mutalib. Tambahan pula Abu Lahab sudah meninggal dunia. Di kalangan keturunan Abdul Mutalib, Abbas yang paling bijak dan mempunyai bakat sebagai pemimpin.

     "Wahai kaum Quraisy, Abu Sufian menuduh Muhammad telah menganiaya kamu. Siapakah sebenarnya yang membuat aniaya kepada Muhammad dan para pengikutnya sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Yahtrib? Kamu marah apabila Muhamamd dan para pengikutnya menyekat laluan ke Syam. Tetapi apakah kamu sudah lupa yang kamu pernah menyekat Muhammad dan para pengikutnya selama bertahun-tahun sehingga mereka terpaksa memakan daun-daun kayu kerana tiada makanan. Anak-anak kecil mereka kelaparan kerana ibu-ibu mereka kurus kering hingga tubuh mereka tidak lagi mengeluarkan susu? Kamu yang telah menganiaya Muhamamd dan para pengikutnya selama 15 tahun," kata Abbas dengan panjang lebar. Orang ramai terdiam mendengar kata-kata Abbas. Abbas ingin menyambung lagi percakapannya tetapi segera dipotong oleh Safwan bin Umaiyah.

     "Apa yang kita lakukan terhadap Muhammad itu bukan satu penganiyaan tetapi satu hukuman kerana dia mempersendakan agama nenek moyang kita. Menghina tuhan-tuhan kita dengan menyeru manusia menyembah selain Al-Latta- dan Al-Uzza. Muhammad menjadi degil dan keras kepala kerana dia dilindungi pemimpin Bani Hasyim. Dahulu dia dilindungi Abu Talib, sekarang dilindungi Abbas bin Abdul Mutalib. Sebab itu sudah sampai masanya kita atasi masalah ini dengan berperang. Kita pernah berperang dengan mereka di Badar. Kita mengalami kekalahan kerana kesilapan kita sendiri. Oleh sebab itu, kita mesti menebus semula kekalahan itu dengan berperang sekali lagi dengan mereka. Jika kita berdiam diri, kita akan mati kebuluran sebab mereka sudah menyekat laluan keluar dan masuk. Kita berkumpul pada hari ini untuk mendapat kata sepakat bagi berperang sekali lagi dengan Muhammad. Jika ada yang tidak setuju, dia boleh pergi dan keluar dari tempat ini kerana kehadirannya tidak diperlukan," kata Safwan yang menujukan kata-katanya terhadap Abbas.

     "Aku memang tidak setuju kamu berperang dengan Muhammad. Aku akan keluar dari sini. Aku tidak akan menyertai kamu lagi," kata Abbas lalu keluar dari Masjidil Haram terus pulang ke rumahnya.

     Dia tahu dirinya tidak disenangi orang ramai kerana sering membela Nabi Muhammad. Mereka mahu dia mencontohi Abu Lahab yang memusuhi Muhammad. Tetapi dia tidak sanggup melakukannya. Tambahan pula ayahnya dulu Abdul Mutalib juga menyayangi Muhammad. Begitu juga abangnya Abu Talib yang sanggup melindungi Nabi Muhammad walau nyawanya sendiri sering terancam.

     Dalam perjalanan pulang ke rumah, Abbas bertemu dengan Umair bin Wahab Al-Jumahi yang suatu ketika dulu amat memusuhi Nabi Muhammad sehingga sanggup pergi ke Madinah bagi membunuhnya. Tetapi akhirnya dia mendapat hidayah lalu masuk Islam. Walaupun sudah menjadi pengikut Muhammad. Umair tetap berada di Mekah dan orang-orang Quraisy tidak berani menyakitinya kerana bimbang tindak balas Umair yang terkenal sebagai seorang yang gagah dan berani.

     "Orang ramai sedang berkumpul di depan Kaabah. Mereka sedang dihasut oleh pemimpin-pemimpin Quraisy untuk menyerang Madinah. Aku cuba membantah tetapi dihalau keluar dari situ," kata Abbas sambil melahirkan rasa kesalnya.

     "Perkara ini adalah serius. Mengapa engkau keluar dari situ? Jangan keluar dari situ supaya kita dapat tahu apa yang mereka rancang. Dengan itu kita boleh melaporkannya kepada Nabi Muhammad," marah Umair.

     "Aku bimbang tentang keselamatanku. Tambahan pula mereka berjaya menghasut orang ramai membenci kita," kata Abbas dengan rasa sedih.

     "Aku akan pergi ke sana. Mari temani aku. Jika mereka berani menyakiti engkau nescaya aku gunakan senjataku ini," kata Umair sambil menunjukkan pedangnya.

     Beberapa bulan yang lalu pedang itu pernah cuba digunakan untuk membunuh Nabi Muhammad. Umair mengasah mata pedang itu hingga tajam berkilat. Kemudian menyapunya dengan racun yang paling bisa supaya apabila Nabi Muhammad terluka sedikit sahaja pun akan membawa maut. Tetapi pedang itu tidak jadi digunakan untuk membunuh Muhammad. Jika perlu, Umair segera menggunakan pedang itu untuk membunuh para pemimpin Quraisy terutama Abu Sufian bin Harb.

     Abbas bersetuju dengan permintaan Umair lalu mengikutinya masuk semula ke dalam Masjidil Haram. Orang ramai tidak menghiraukan kedatangan Abbas bersama Umair. Mereka lebih berminat mendengar ucapan pemimpin mereka.

     "Ayahku dibunuh dalam perang Badar. Dia mati sebagai pahlawan Quraisy kerana membela agama nenek moyang kita. Ayahmu memusuhi Muhammad sejak dia diutus menjadi pesuruh Allah. Ayahku terus memusuhinya sehingga terbunuh dalam perang Badar. Jika semua orang Quraisy bersatu sudah tentu ayahku tidak terbunuh dan pasukan Quraisy tidak dapat dikalahkan oleh pasukan Muhammad. Aku bersumpah akan menuntut bela di atas kematian ayahku," kata Ikramah bin Abu Jahal. Dia kelihatan begitu bersemangat.

     Kemudian giliran Hindu binti Uthbah pula berucap, "Ayahku Uthbah bin Rabiah dibunuh oleh Hamzah bin Abdul Mutalib. Aku bersumpah akan membalas dendam di atas kematian ayahku. Aku sanggup mengupah sesiapa saja yang sanggup membunuh Hamzah. Aku juga akan menyeru kaum ibu menyerahkan barang-barang perhiasan mereka untuk membiayai peperangan ini," kata Hindun juga dengan penuh bersemangat. Orang ramai memberi tepuk sorak sebagai tanda sokongan.

     Kemudian, giliran Khalid Al-Walid pula yang berucap. Ketika itu beliau belum masuk Islam. Kebenciannya terhadap Nabi Muhammad menyamai kebencian Abu Sufian dan Ikramah.

     "Aku tidak ada di sini ketika berlakunya Perang Badar. Jika aku ada, pasti aku juga menyertai pasukan Quraisy Mekah dan akan terlibat dalam pertempuran di Badar. Kerana itu peperangan kali ini aku akan turut serta. Aku akan pastikan kemenangan kali ini milik orang Quraisy Mekah," kata Khalid Al-Walid.

     Ucapannya juga membakar semangat orang ramai. Mereka menyatakan sokongan terhaap Khalid Al-Walid.

     Selepas habis para pemimpin Quraisy berucap maka orang ramai sebulat suara menyokong dibentuk pasukan tentera bagi menyerang Madinah. Abu Sufian masih itdak berpuas hati. Dia mengajak semua pemimpin Quraisy dan orang ramai menjalankan kempen untuk berperang dengan Nabi Muhammad. Dia mengadakan perjumpaan dengan semua anggota kafilah dagang Quraisy yang pernah diselamatkannya.

     "Tuan-tuan semua adalah anggota kafilah dagang yang pernah aku selamatkan dari dirompak oleh Muhammad dan pengikutnya. Tetapi pada masa akan datang aku tidak dapat lagi menyelamatkan kamu lagi kerana Muhammad dan para pengikutnya berkuasa di Madinah. Mereka semakin berani bertindak ganas terhadap kita. Oleh itu kami memerlukan bantuan kamu semua untuk menyerang Madinah dan membunuh mereka," kata Abu Sufian dalam satu perjumpaan dengan anggota kafilah dagang Quraisy yang pernah diselamatkannya.

     "Kami sanggup membantu kamu dengan tenaga, harta dan jiwa raga kami. Segeralah memerangi Muhammad dan kami akan bersama kamu," kata salah seorang daripada mereka.

     Hasil daripada kempen itu Abu Sufian dapat mengumpulan 1000 ekor kuda dan 50,000 dirham. Dia masih belum berpuas hati lalu mengadakan pertemuan dengan anggota kafilah dagang yang barag-barang mereka sudah dirampas oleh pasukan tentera Islam dalam peristiwa Sawiq dan Bahran. Mereka mendermakan 1000 ekor unta untuk dijadikan makanan tentera yang akan berperang. Kemudian Abu Sufian menemui kabilah-kabilah Arab dan Badwi yang belum mengikat perjanjian dengan Nabi Muhammad.

     Hindun binti Uthbah, isteri Abu Sufian pula menemui keluarga mereka yang terbunuh dalam perang Badar. Dia meminta balu-balu mereka yang terkorban itu memberi bantuan. Seruan itu juga mendapat sambutan sehingga mereka sanggup mendermakan barang-barang kemas untuk membiayai pasukan perang Quraisy.

     Hasil daripada kempen itu juga seramai 150 wanita menyatakan kesanggupan mereka bagi mengiringi angkatan perang Quraisy nanti. Lima belas orang antara mereka adalah isteri pemimpin dan hartawan Quraisy.

     Safwan bin Umaiyah pula memujuk Abu Izzah seorang penyair Arab yang terkenal supaya menulis puisi yang boleh menambahkan lagi kebencian orang ramai terhadap Nabi Muhammad serta menaikkan semangat mereka untuk berperang.

     "Kamu bantu kami dengan lidah dan puisi-puisi kamu. Kami sangat menghargainya," pujuk Safwan.

     "Aku pernah menyertai pasukan Quraisy di dalam Perang Badar. Ternyata aku bukan seorang pahlawan sehingga dijadikan tawanan perang. Aku seorang penyair yang terkenal maka aku dibebaskan tanpa membayar apa-apa tebusan. Tetapi mereka telah memberi amaran jika aku ditangkap sekali lagi dan aku tidak akan dimaafkan lagi," kata Abu Izzah yang berasa keberatan menurut kehendak Abu Sufian.

     "Walaupun engkau bukan seorang pahlawan tetapi engkau bijak mencipta puisi. Tulislah puisi yang menambahkan lagi rasa benci orang ramai terhadap Muhammad. Naikkan semangat mereka untuk berperang. Engkau akan mengiringi angkatan perang Quraisy bagi membaca puisi-puisi perang kepada mereka," pujuk Safwan.

     "Bagaimana jika aku tertangkap dan dijadikan tawanan perang lagi? Sudah tentu aku dibunuh," kata Abu Izzah.

     "Kali ini orang Quraisy telah bersatu untuk memerangi Muhammad. Kami juga mendapat bantuan daripada kabilah-kabilah Arab dan Badwi. Aku yakin kami akan menang dan Muhammad akan kalah," kata Safwan bersungguh-sungguh.

     "Dalam setiap peperangan pasti ada yang terbunuh dan cedera. Bagaimana jika aku terbunuh?" tanya Abu Izzah lagi.

     "Wahai Abu Izzah, jika kamu masih hidup nescaya kamu akan menjadi kaya raya. Jika kamu terbunuh keluarga kamu akan aku bela nasibnya," janji Safwan sambil bersumpah dia tidak mungkir janji.

     Akhirnya, Abu Izzah dapat dipengaruhi Safwan. Dia pun menulis puisi yang boleh menambahkan lagi rasa benci orang ramai kepada Nabi Muhammad. Dia juga menulis puisi yang membangkitkan semangat orang ramai untuk berperang. Puisi-puisi tulisan Abu Izzah itu digantungkan pada dinding Kaabah dan kemudian dibacakan kepada orang ramai.

     Seorang lagi penyair bernama Musafi' bin Abdi Manaf al-Jumahi yang pada mulanya tidak terkenal. Dia juga turut menulis puisi seperti Abu Izzah. Tidak lama kemudian namanya menjadi terkenal dan disanjung orang ramai.

     Ikramah bin Abu Jahal dan Khalid Al-Walid pula menjalankan kempen mengajak kaum lelaki menyertai pasukan perang Quraisy. Oleh sebab, kedua-duanya pahlawan Quraisy yang terkenal, maka dengan mudah mereka dapat menarik orang ramai mendaftarkan diri menyertainya.

     Hasil kempen secara besar-besaran itu mereka berjaya mendapatkan seramai 3,000 orang lelaki yang sanggup pergi berperang. Mereka terdiri daripada orang Quraisy Mekah, Arab Kinanah dan Arab Tuhamah daripada Bani Al-Harith dan dan Bani Al-Mustalig daripada suku Khuza'ah.

     Di kalangan mereka terdapat seorang pendeta Bani Aus bernama Abu Amer Al-Rahib Al-Ausi. Beliau berasal dari Madinah dan berpindah ke Mekah kerana hendak bergabung dengan orang Quraisy memerangi Nabi Muhammad. Pendeta itu juga membawa bersama para pengikutnya.

     Juber bin Muth'im pula menyuruh hambanya bernama Wahsyi yang berasal dari Habsyah menyertai pasukan Quraisy.

     "Kamu mahir membaling tombak. Aku mahu kamu membunuh Hamzah kerana dia telah membunuh bapa saudaraku Thu'aimah bin Adi dalam Perang Badar," pesan Juber kepada Wahsyi.

     "Baik tuan," kata Wahsyi dengan senang hati.

     "Jika kamu berjaya membunuh Hamzah maka aku memerdekakan kamu. Selain aku, maka indun juga mahu Hamzah dibunuh. Kamu pergi temui Hindun," kata Juber lagi.

     Wahsyi segera menemui Hindun lalu berkata, "Khabarnya puan mencari seseorang untuk membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib."

     "Memang benar kerana Hamzah telah membunuh bapaku Uthbah dalam Perang Badar. Apakah kamu sanggup membunuhnya?" tanya Hindun pula.

     "Saya seorang yang mahir membaling tombak. Saya akan gunakan tombak itu untuk membunuh Hamzah," jawab Wahsyi.

     "Jika kamu dapat membunuh Hamzah aku merdekakan kamu daripada Juber dan memberi hadiah sebanyak satu ribu dirham," janji Hindun.

     Hindun pula dapat mengumpulkan 150 orang perempuan yang sanggup mengiringi pasukan perang itu hingga sampai ke Madinah. Abu Sufian yakin dengan adanya kaum wanita itu pemimpin-pemimpin Arab yang bersamanya tidak akan lari dari medan perang. Kaum wanita itu juga ditugaskan menghiburkan anggota pasukan Quraisy dengan nyanyian dan tarian sepanjang perjalanan serta merawat mereka yang cedera dalam pertempuran.

     Mereka melantik Abu Sufian bin Harb menjadi pemimpin tertinggi pasukan tentera Quraisy. Panglima Khalid Al-Walid mengetuai pasukan tentera berkuda seramai 200 orang. Ikramah bin Abu Jahal mengetuai pasukan tentera berjalan kaki yang memakai baju besi berjumlah 700 orang. 1,000 orang tentera yang terdiri dari hamba yang dipaksa pergi berperang diketuai Abu Amir bin Al-Rahib. Manakala selebihnya di bawah perintah panglima tertinggi Abu Sufian. Bendera pasukan Quraisy dipegang oleh Abdul Al-Dar. 150 orang kaum wanita pula diketuai oleh Hindun bin Uthbah.

     Kemudian mereka berangkat menuju ke Madinah. Sepanjang perjalan kaum wanita yang diketuai Hindun menghiburkan angkatan perang Quraisy dengan tarian dan nyanyian. Mereka juga memukul gendang perang bagi menaikkan semnagat pasukan Quraisy untuk berperang.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

BERBAKTI DAN MENDOAKAN IBU










BERBAKTI DAN MENDOAKAN IBU








Kewajiban Berbakti kepada Orang Tua

Quran, sunah dan ijmak ulama menegaskan, hukum berbakti kepada orang tua adalah wajib.

     Allah menegaskan di dalam Quran berkenaan perintah berbakti kepada ibu bapa dalam Surah al-An'am, ayat 151, yang bermaksud:

     "Marilah kubacakan apa yang Allah haramkan ke atas kamu
     iaitu janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu
     apa pun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu dan bapa-
     mu." (Surah al-An'am, ayat 151)

     Seterusnya Allah menerangkan dalam Surah al-Israk, ayat 23 yang bermaksud,
   
     "Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah
     selainnya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu dan
     bapamu dengan sebaik-baiknya." (Surah al-Israk, ayat 23)

Lihat pula hadis berikut:

     "Seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad, 'Ya
     Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku patuhi?'
     Nabi menjawab, 'Ibumu.' Orang itu bertanya lagi, 'Selepas
     itu, siapa pula?' Nabi menjawab, 'Ibumu.' Orang itu terus
     bertanya, 'Kemudian, siapa lagi?' Buat kali ketiga, nabi
     menjawab, 'Ibumu.' Orang itu bertanya lagi, 'Kemudian
     siapa?' Nabi menjawab, 'Bapamu.'" (Hadis laporan Bukhari
     dan Muslim)

Kitab al-Ijma karangan Ibnu Hazm menjelaskan, para imam mujtahid sepakat mengatakan berbakti kepada orang tua hukumnya wajib. Dengan itu, setiap anak perlu melaksanakan kewajipan itu, tanpa kecuali.

     Tiga keterangan di atas iaitu dalam Quran, hadis dan ijmak ulama cukup menegaskan, berbuat baik kepada orang tua adalah wajib. Oleh yang demikian, sesiapa yang berbakti kepada orang tuanya mendapat pahala yang besar. Sebaliknya, siapa yang menderhaka kepada ibu bapanya mendapat dosa dan seksaan.


Saranan Supaya Seorang Anak Lebih Mengutamakan Ibu

Allah memerintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapa. Sebahagian daripada para rasul mendapat pujian daripada Allah kerana mereka berbakti kepada ibu bapa mereka, contohnya Nabi Yahya yang banyak berbakti kepada orang tuanya.

     Allah berkata:

     "Yahya adalah seorang yang berbakti kepada orang tua-
     nya. Dia bukanlah orang yang sombong lagi derhaka." (Surah
     Maryam, ayat 1 hingga 4)

     Allah turut memuji Nabi Isa yang berkata kepada ibunya, Maryam, "Aku berbakti kepada ibuku dan Allah tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka." (Surah Maryam, ayat 32)

     Nabi Yusuf pula menghormati dan memuliakan kedua orang tuanya, "Yusuf menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana." (Surah Yusuf, ayat 100)

     Kita semua tahu, kisah pengabdian Nabi Ismail kepada orang tuanya yang rela dikorbankan oleh bapanya. Ketaatan Nabi Ismail kepada bapanya, Nabi Ibrahim menyebabkan Allah mengurniakan kemuliaan dan darjat yang tinggi kepada mereka. Sewaktu Nabi Ibrahim menyampaikan perintah bagi mengorbankan Ismail kepada anaknya itu, Ismail menjawab, "Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu kelak mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar."

     Di sebalik kisah-kisah para nabi di atas, Allah sebenarnya menyuruh kita mencontohi sikap mereka iaitu menghormati, memuliakan dan mengasihi orang tua terutama ibu yang melahirkan kita ke dunia ini. Anjuran supaya kita mengutamakan ibu disebutkan di dalam Quran yang menyatakan kepayahan ibu mengandung dan membesarkan kita.

     Allah berkata:

     "Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua-
     dua ibu dan bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan
     susah payah dan melahirkannya juga dengan susah payah.
     Kemudian, ibu menyusuinya hingga dia berusia 30 bulan."
     (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Selain itu, hadis-hadis nabi berkenaan cara melayan orang tua turut menjelaskan yang kita perlu mengutamakan ibu.

     Abu Ya'la at-Thabrani merekodkan, "Seseorang datang menghadap Nabi Muhammad dan berkata, 'Ya Rasulullah, aku ingin berjihad pada jalan Allah tetapi aku tidak kuat.' Lalu, nabi bertanya kepadanya, 'Adakah salah seorang bapa ataupun ibumu masih hidup?' Orang itu menjawab, 'Ibuku masih hidup.' Nabi pun berkata, 'Berjuanglah bagi mencapai keredaan Allah dengan mematuhi ibumu dan berbakti kepadanya. Nescaya engkau memperoleh pahala yang sama dengan orang yang melakukan ibadah haji, umrah dan berjihad.'"

     Oleh itu, berbakti kepada ibu ataupun bapa adalah lebih utama daripada berjihad pada jalan Allah. Nabi juga menyarankan kita berkhidmat kepada ibu kerana ia membuka pintu syurga. Thalhah as-Sulami pernah berkata kepada Nabi Muhammad, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mahu mengikutmu berjihad pada jalan Allah.' Nabi bertanya kepadanya, 'Adakah ibumu masih hidup?' Thalhah menjawab, "Ya, dia masih hidup.' Nabi kemudian berkata, 'Bersimpuhlah kamu di kakinya, di situlah terletaknya syurga.'"

     Ibnu Majah, an-Nasa'i dan al-Hakim merekodkan, "Seseorang datang kepada Nabi Muhammad dan berkata, 'Ya Rasulullah, aku datang kerana mahu berjihad pada jalan Allah dan aku ingin meminta pendapatmu.' Nabi bertanya, 'Adakah engkau masih mempunyai ibu?' Jawabnya, 'Ya, aku masih mempunyai ibu.' Nabi pun berkata, 'Jagalah ibumu kerana syurga itu terletak di bawah tapak kakinya.'"

     Sesungguhnya syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Ini bererti setiap manusia wajib berbakti kepada ibu dengan sebaik-baiknya. Apabila ibu kita reda dengan kita, pintu rahmat Allah iaitu syurga terbuka dan apabila ibu tidak reda kepada kita, pintu nerakalah yang terbuka. Oleh itu, dalam melaksanakan kewajipan kita berbakti kepada orang tua, kita perlu mengutamakan ibu, walaupun wajib kita berbakti kepada kedua ibu bapa.


Lebih Menyayangi dan Memuliakan Ibu

Kita perlu memahami betapa orang tua kita, terutama ibu kita menyayangi kita. Kasih sayang merekalah yang mengiringi perjalanan hidup kita. Segala kesusahan dan kepayahan mereka mengharungi demi membesarkan dan mendidik kita. Semuanya mereka jalani dengan sabar hingga kita dewasa dan dapat hidup berdikari. Oleh itu, memang wajar apabila orang tua menginginkan anak-anak memuliakan dan menghormati mereka.

     Bersikap baik kepada orang tua adalah wajib. Membalas kebaikan ibu bapa dengan balasan yang baik disebut sebagai birrul walidaini. Contohnya, memandang orang tua dengan penuh kasih sayang, memuliakan mereka, menghormati mereka dan seumpamanya. Menyayangi ibu dengan sepenuh hati, memuliakan dan menghormatinya dengan penghormatan yang sempurna adalah sebahagian daripada amal soleh.

     Bagi merealisasikan rasa sayang dan hormat itu, seorang anak perlu berusaha sentiasa menyenangkan hati ibunya, mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang menyakiti hatinya, mendengar dan menurut nasihatnya, melaksanakan perintahnya secepat mungkin, memenuhi permintaannya, bersalam dan mencium tangannya, dan selalu tersenyum kepadanya. Sayangilah ibu melebihi kasih sayangmu pada suami mahupun isteri dan anak-anak, mudah-mudahan kita memperoleh rahmat dan keberkatan daripada Allah.

     Apabila seseorang sanggup merenung dan memikirkan penderitaan yang dialami oleh ibunya, bermula sejak ibunya mengandungkannya, melahirkannya dan membesarkannya dengan susah payah, pasti seorang anak mahu berbakti kepada ibunya. Betapa berat beban seorang ibu yang mengandungkan anaknya selama sembilan bulan. Betapa sakit seorang ibu yang melahirkan anak dan betapa susahnya seorang ibu menyusu dan memelihara bayinya. Ibu keletihan setiap hari mengurus, mengasuh dan mendidik anaknya.

     Ibu menjaga kesihatan dan keselamatan anaknya melebihi dia menjaga dirinya sendiri. Ibu mencurahkan semua kasih sayang tanpa mengharapkan sebarang balasan. Apabila anaknya sihat dan gembira, hatinya turut gembira. Semua rintangan dihadapi dengan sabar demi melindungi anaknya. Dia berusaha mendidik anaknya pada jalan yang lurus, yang bahagia dan berjaya.

     Semua pengorbanan ibu tidak mengenal siang ataupun malam. Dia tetap tersenyum di tengah kelelahan dan penderitaan. Dalam suka dan duka, ibu tetap berusaha dengan segenap kemampuannya bagi memelihara dan menjaga anaknya. Apalagi ibu yang kematian suami, dialah yang terpaksa menggantikan kedudukan bapa bagi mencari rezeki. Ibu menerima semuanya dengan hati yang tabah dan ikhlas. Dia tetap berjuang demi membesarkan anaknya.

     Sewajarnya ibu perlu menerima penghormatan daripada anaknya dan anak perlu memuliakan ibunya. Janganlah kita sebagai anak menutup mata pada kenyataan ini. Pada setiap saat, kita perlu berusaha berbakti dan mencari keredaan orang tua kita.


Memandang Ibu dengan Penuh Kasih Sayang

Sesungguhnya kesempatan hidup orang tua yang memperoleh umur yang panjang hingga dapat membesarkan kita adalah nikmat Allah yang besar untuk kita. Betapa bangganya orang tua yang dapat melihat anaknya berupaya hidup berdikari, apalagi apabila anaknya mencapai kejayaan, menjadi popular dan terkenal. Orang tua tidak pernah meminta balasan atas semua pengorbanannya. Cukup dia melihat anaknya bahagia, dia juga turut bahagia.

     Anak yang tahu membalas budi adalah anak yang diharapkan oleh semua ibu bapa. Membalas budi di sini bukanlah bermakna membalas dengan wang ataupun harta kekayaan tetapi dengan sikap yang baik. Oleh itu, apabila kita memandang kepada ibu ataupun bapa, pandanglah mereka dengan penuh kasih sayang.

     Ibnu Abbas mengulas Surah al-Israk, ayat 23 iaitu, 'Sembahlah Allah dan jangan mempersekutukan Allah dengan apa pun serta berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu' dengan mengatakan, "Kita perlu taat, lemah lembut dan bersopan santun kepada kedua ibu bapa. Jangan membeliakkan mata apabila kita memandang mereka. Malah, kita perlu bersikap seperti hamba di hadapan ibu bapa kita."

     Nabi Muhammad menerangkan, ada tiga pandangan yang termasuk sebagai ibadah iaitu memandang wajah orang tua dengan penuh kasih sayang, memandang Quran dan memandang lautan. Demikian keterangan Abu Nua'im yang bersumberkan hadis laporan Aisyah. Menurut laporan Abu Daud pula, pandangan yang dianggap ibadah adalah memandang kaabah, memandang kedua-dua orang tua dan memandang Quran.

     Apabila memandang ibu dengan penuh rasa kasih sayang itu dianggap amal soleh, tentu pahalanya besar. Dalam beberapa penjelasan, nilai pahala itu sama seperti orang yang mengerjakan ibadah haji mabrur:

     Nabi Muhammad berkata:

     "Apabila seorang anak memandang wajah orang tuanya
     dengan penuh kasih sayang, Allah memberikan ganjaran
     kepadanya sama seperti ganjaran orang yang beribadah haji
     mabrur."

Imam Rafi'i di dalam kitabnya, Tarikh Qazwain menyebutkan satu laporan yang bersumberkan Abdillah bin Umar iaitu nabi pernah berkata, "Allah memberikan pahala kepada seorang anak yang memandang wajah kedua-dua orang tuanya dengan penuh kasih sayang sama dengan pahala orang yang melakukan ibadah haji mabrur."

     Dalam kitab Syu'abul Iman, terkandung laporan hadis yang sama iaitu:

     "Tidak ada seorang anak yang berbakti kepada orang
     tuanya dan memandang wajah kedua orang tuanya dengan
     perasaan kasih kecuali Allah memuliakan pahala ibadah
     haji mabrur baginya. Ibnu Abbas bertanya, 'Wahai nabi,
     bagaimana sekiranya anak itu memandang wajah ibu dan
     bapanya sebanyak 100 kali?' Nabi menjawab, 'Lebih besar
     pahalanya. Sesungguhnya Alah maha besar lagi maha baik.'"
     (Hadis laporan Baihaqi)

Ibnu Abbas pernah berkata, "Tidak ada seorang pun yang memandang bapa dan ibunya dengan rasa kasih sayang melainkan Allah mencatatkan baginya pahala ibadah haji yang mabrur."

     Dengan demikian itu kita dapat menyimpulkan, Allah memberikan pahala yang besar kepada orang yang sentiasa mencurahkan kasih sayang kepada orang tuanya. Bahkan Allah memberikan ganjaran yang lebih besar daripada apa yang digambarkan oleh Nabi Muhammad.

     Ada suatu peristiwa yang berlaku pada Ali bin Abu Talib sewaktu beliau berjalan ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah bersama nabi. Di tengah jalan, beliau bertemu dengan seorang tua. Ali menyangka orang tua itu juga mahu ke masjid. Dengan rasa takzim dan kasih sayang, Ali pun berjalan di belakangnya dan tidak sanggup mendahuluinya. Apabila mereka tiba di hadapan masjid, Ali terperanjat kerana orang tua itu tidak masuk ke dalam masjid tetapi dia terus berjalan. Ternyata, orang tua itu beragama Nasrani.

     Para sahabat yang berada di masjid menyangka Ali tertinggal solat berjemaah. Namun dengan kehendak Allah, sewaktu Nabi Muhammad rukuk pada rakaat kedua, Allah memerintahkan malaikat Jibrail menahan rukuk nabi dengan meletakkan sayap di belakang beliau. Pada waktu yang sama, malaikat lain menahan perjalanan matahari. Apabila Ali sampai di masjid, dia terus mengangkat takbiratulihram dan kemudian rukuk, nabi pun bangun daripada rukuknya dan matahari kembali berjalan semula. Ini bererti Ali tidak tertinggal solat subuh berjemaah. Karomah ini terjadi kerana Ali memandang orang tua tadi dengan rasa kasih sayang walaupun dia adalah orang Nasrani.

     Sekiranya kita memandang orang lain dengan penuh kasih sayang, termasuk kepada orang Nasrani itu dapat menimbulkan keajaiban. Bayangkan keajaiban yang wujud apabila kita memandang orang tua kita dengan kasih sayang, seperti yang Allah perintahkan kepada kita.

     Imam Baihaqi merekodkan, Nabi Muhammad pernah berkata, 'Apabila seorang anak memandang orang tuanya dengan gembira, dia memperoleh pahala sama dengan pahala orang yang memerdekakan hamba sahaya.' Lalu seorang sahabat bertanya, 'Bagaimana seandainya anak itu memandang orang tuanya sebanyak 300 kali?' Nabi menjawab, 'Allah yang maha besar pasti memberi pahala yang lebih besar lagi kepadanya.'"


Berkata dan Bersikap Lembut kepada Ibu

Setiap anak perlu bersikap lemah lembut kepada ibunya. Dalam Quran, Allah memerintahkan:

     "Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan
     rendahkan dirimu di hadapan kedua ibu bapamu dengan
     penuh rasa sayang." (Surah al-Israk, ayat 23 hingga 24)

Al-Hasan mentafsirkan ayat, 'ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia' itu dengan menjelaskan, jangan kita sekali-kali memanggil ibu ataupun bapa kita dengan namanya tetapi panggillah mereka dengan panggilan yang mulia. Misalnya, 'ibu', 'umi' ataupun 'ummah'. Panggilan kita itu perlu mengandungi unsur penghormatan.

     Said bin Mussayah menggambarkan qoulan kariim sebagai kata-kata yang lembut dan menyenangkan hati ibu seperti kata-kata daripada seorang pekerja yang melakukan kesalahan di hadapan ketuanya yang garang. Ertinya, kita perlu tunduk, taat dan patuh kepada orang tua.

     Atha bin Abi Rabah dalam mentafsirkan ayat di atas mengatakan, "Janganlah kamu berkata-kata di hadapan orang tua sambil mengangkat-angkat tanganmu."

     Urwah pula menjelaskan, sikap lemah lembut adalah kita perlu tunduk kepada orang tua seperti seorang pekerja tunduk kepada majikannya yang bengis.

     Pada suatu ketika, ada seorang lelaki datang menghadap Nabi Muhammad bersama seorang lelaki tua, "Nabi bertanya kepadanya, 'Siapakah orang tua yang datang bersamamu ini?' Lelaki itu menjawab, 'Bapaku.' Nabi pun berkata, 'Jangan kamu berjalan di hadapannya. Jangan kamu duduk sebelum dia duduk. Jangan kamu memanggilnya dengan nama yang sembarangan. Jangan kamu menjadi penyebab dia mendapat cacian daripada orang lain.'" Demikian keterangan Imam Thabrani di dalam Kitab al-Ausath daripada Aisyah.

     Kata-kata dan sikap berlemah lembut kepada ibu bapa adalah wajib bagi seorang anak pada setiap masa dan di mana sahaja. Itulah sebahagian daripada cara kita berbakti kepada orang tua terutamanya kepada ibu kita yang tercinta.


Menjaga Keredaan Ibu

Nabi Muhammad berkata:

     "Keredaan Allah itu bergantung pada keredaan kedua orang
     tua dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan
     kedua orang tua."

Dengan demikian, keredaan ibu adalah sumber keredaan Allah. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap orang beriman supaya sentiasa berusaha mencari keredaan orang tua. Kemurkaan orang tua pula adalah sumber kemurkaan Allah dan ia mampu mendatangkan bencana dan malapetaka yang besar. Ingatlah pada kisah Alqomah pada zaman Nabi Muhammad, kisah Juraij pada zaman kerasulan Bani Israil dan kisah-kisah lain seumpamanya. Anak yang tidak mendapat keredaan ibu bapa pasti menerima malapetaka.

     Orang tua pasti selalu meredai anaknya apabila anak itu tetap istiwamah pada jalan yang benar. Sewaktu kita masih kecil dan remaja, orang tua kita pasti berasa senang hati melihat kita rajin belajar, pergi ke sekolah setiap hari tanpa ponteng, dapat menguasai pelajaran dengan baik dan tidak berkawan dengan budak-budak jahat.

     Apabila kita besar dan berumah tangga, kita perlu tetap menjaga hubungan yang baik sesama saudara seperti sewaktu kita kecil. Kita perlu saling membantu dan menjaga nama baik orang tua serta keluarga. Jalinkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga dan teman-teman sekolah dahulu. Semua itu adalah amalan yang baik pasti menjadikan orang tua kita meredai kita.

     Sejak kecil hingga dewasa, kita mesti berusaha menjaga keredaan ibu kita. Jangan sesekali kita menyakiti hatinya secara langsung ataupun tidak langsung. Apabila orang tua tidak reda kepada kita, maka rahmat Allah jauh daripada kita. Sesungguhnya, kita memperoleh rahmat Allah dengan keredaan orang tua kita.

     Nabi Muhammad pernah menyatakan dalam satu hadisnya, "Sesiapa yang sejak pagi mendapatkan keredaan orang tuanya, ia bererti dua pintu syurga terbuka untuknya. Sesiapa yang mendapat keredaan orang tuanya pada waktu petang, dua pintu syurga juga terbuka untuknya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mendapat keredaan orang tuanya pada waktu pagi, dua pintu neraka terbuka untuknya. Demikian juga apabila seseorang itu tidak mendapat keredaan orang tuanya pada waktu petang, dua pintu neraka terbuka untuknya." Begitulah Imam Baihaqi merekodkan daripada Ibnu Abbas.


Memohon Izin Apabila Masuk ke Bilik Ibu

Dalam Quran, Allah memerintahkan anak-anak yang dewasa supaya memohon izin apabila hendak masuk ke dalam bilik ibu bapa mereka. Perintah itu adalah seperti berikut:

     "Apabila anak-anakmu sampai umur baligh, mereka perlu
     meminta izin seperti orang-orang yang meminta izin sebelum
     mereka. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya. Allah
     maha mengetahui lagi maha bijaksana." (Surah an-Nur, ayat
     59)

Dengan demikian, anak-anak yang memasuki usia baligh, perlu memohon izin daripada ibu mereka terlebih dahulu apabila mereka hendak masuk ke dalam bilik ibu. Begitulah adab yang digariskan dalam agama Islam. Begitu juga apabila kita hendak masuk ke dalam rumah orang lain, kita perlu memohon izin daripada tuan rumahnya.

     Allah menegaskan, "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberikan salam kepada penghuninya. Itulah yang lebih baik bagimu supaya kamu selalu ingat. Sekiranya kamu tidak melihat seorang pun di dalam rumah itu, janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Apabila orang di dalam rumah itu berkata kepadamu, 'Kembali sahajalah', kembalilah kamu. Itulah yang lebih baik bagimu dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah an-Nur, ayat 27 hingga 28)

     Setiap kali kita memasuki rumah ataupun bilik orang lain, kita perlu mengucapkan 'assalamualaikum'. Di samping sebagai petanda memohon izin, salam juga berfungsi sebagai doa supaya kedua-dua belah pihak sentiasa memperoleh keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan zahir dan batin. Ucapan salam juga mencerminkan suasana rumah yang islamik.

     Pada suatu ketika, ada seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad, "Wahai Rasulullah, adakah aku perlu memohon izin daripada ibuku sendiri apabila hendak masuk ke dalam biliknya?"

     Nabi menjawab, "Ya, perlu."

     Lelaki itu bertanya lagi, "Tidak ada orang lain yang menjaga diriku selain ibuku."

     Nabi berkata, "Adakah kamu sanggup melihat ibumu tidak berpakaian di dalam biliknya?"

     Lelaki itu menjawab, "Tidak."

     Nabi pun berkata, "Sekiranya demikian, mintalah izin daripada ibumu sebelum kamu masuk ke dalam biliknya."

     Imam Bukhari merekodkan satu hadis daripada Sofyan daripada A'masy daripada Alqomah, 'Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang menghadap Abdillah bin Mas'ud. Lelaki itu berkata, 'Adakah aku perlu memohon izin daripada ibuku setiap kali aku hendak masuk ke dalam biliknya? Abdillah bin Mas'ud menjawab, 'Bukannya setiap waktu ibumu merasa senang melihatmu dan dilihat olehmu'."

     Katakanlah, kebetulan sewaktu seorang anak masuk ke dalam bilik ibunya, ibunya sedang memakai pakaian yang nipis ataupun sedang melakukan sesuatu yang tidak sesuai dilihat oleh orang lain, ibu itu tentu berasa malu dan tidak senang menerima kehadiran anaknya.

     Jadi, apabila kita hendak memasuki bilik seseorang termasuk bilik ibu bapa kita sendiri, kita perlu meminta izin terlebih dahulu demi menjaga perasaan masing-masing. Orang yang berada di dalam bilik tentu memberika keizinan apabila keadaan memungkinkan dan orang yang berada di luar bilik perlu menunggu hingga dipersilakan masuk.


Berdiri Apabila Menyambut Kedatangan Ibu

Salah satu ciri birrul walidaini (berbuat baik kepada kedua ibu bapa) adalah menyambut kedatangan ibu dengan berdiri, tidak kiralah dari mana ibu kita datang, sama ada dari pejabat ataupun pasar. Aisyah, isteri Nabi Muhammad pernah berkata, "Aku tidak pernah melihat seseorang yang sama dengan nabi dalam ketenangan dan keagungannya kecuali Fatimah, puteri nabi. Apabila beliau datang mengunjungi nabi, nabi bangun, mencium dan mempersilakan puterinya duduk di tempat duduk beliau. Begitu juga sebaliknya. Apabila Nabi Muhammad mengunjungi Fatimah, Fatimah bangun menyambut ayahandanya, menciumnya dan mempersilakannya duduk di tempat duduknya." (Hadis laporan Imam Abu Daud dan Tirmizi)

     Imam Nawawi mengatakan hadis di atas sahih. Hadis itu terkandung dalam bab al-Manaqib di dalam Kitab Hadis Shahih karya Imam Nawawi.

     Quran menceritakan pengalaman Nabi Yusuf yang menjadi Perdana Menteri Agung Mesir. Sewaktu beliau bertemu dengan keluarganya yang sekian lama terpisah, Nabi Yusuf enggan berdiri bagi menyambut kedatangan keluarganya itu. Pada waktu itu, Allah menurunkan wahyu kepadanya, "Wahai Yusuf, adakah kamu merasakan dirimu agung hingga tidak mahu menghormati orang tuamu? Demi kemuliaan dan kebesaranku, aku tidak akan memberikan seorang nabi daripada keturunanmu." Itulah amaran Allah kepada orang yang tidak mahu menghormati orang tuanya. Selepas mendengar wahyu itu, Nabi Yusuf segera bangun menyambut kedatangan ibu bapanya dan saudara-saudaranya.

     Nabi Yusuf menempatkan ibu dan bapanya di singgahsana raja sementara beliau sendiri berdiri. Saudara-saudaranya sujud memberi kehormatan kepadanya. Hal ini terkandung dalam Surah Yusuf, ayat 100 seperti berikut:

     "Dia menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana dan
     mereka semua merebahkan diri seraya bersujud kepada Yusuf."


Memberi Bahagian yang Lebih Besar kepada Ibu Berbanding Bapa

Kita perlu mengutamakan ibu lebih daripada bapa walaupun bapa kita masih hidup. Apabila kita dewasa dan bekerja, tentu kita dapat memberi sesuatu kepada ibu dan bapa kita. Apabila kita memberikan sesuatu dalam bentuk barang ataupun wang, apa yang kita berikan kepada ibu perlu dua kali ganda lebih banyak daripada apa yang kita berikan kepada bapa. Bagaimana pula apabila kita tidak memiliki apa-apa yang dapat disumbangkan kepada orang tua kita? Dalam hal ini, kita dapat melakukan sesuatu yang menyenangkan hati mereka seperti memenuhi keperluannya ataupun permintaannya. Kita boleh memasak untuk mereka, mencuci baju, membersihkan rumah dan sebagainya.

     Ali bin Abu Talib merekodkan, Nabi Muhammad berkata, "Aku berlepas diri daripada orang yang tidak memenuhi hak kedua-dua orang tuanya." Ali bertanya, 'Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya dia tidak memiliki apa-apa yang dapat diberikan kepada orang tuanya?' Nabi menjawab, 'Apabila mendengarkan kata-kata mereka, patuhi dan taatlah kepada mereka. Jangan berkata 'ah' dan jangan membentak mereka. Berkata-katalah dengan kata-kata yang baik kepada mereka.'"

     Sekiranya kita memiliki kekayaan, kita perlu melebihkan pemberian kita kepada ibu. Ini kerana ibulah yang merasakan beratnya bebanan membesarkan dan mendidik anak-anak. Berapa banyakkah yang perlu kita berikan? Itu bergantung pada kemampuan kita masing-masing. Dalam hal ini, andaikan kita memberikan semua harta kita kepada ibu, ia masih tidak mencukupi. 

     "Seorang lelaki pernah bertanya kepada nabi, 'Ya Rasulullah, aku memiliki harta kekayaan dan anak. Ayahku ingin menguasai harta milikku itu. Adakah itu benar?' Nabi menjawab, 'Dirimu dan harta kekayaanmu adalah milik orang tuamu.'" (Hadis laporan Ibnu Majah dan Thabrani daripada Jabir bin Abdullah)

     "Pada suatu hari, seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad dan berkata, 'Ya Rasulullah, ayahku hendak mengambil semua wang hasil susah payahku.' Nabi berkata, 'Baliklah ke rumah dan bawa ayahmu ke sini.'

     Selepas itu, malaikat Jibrail turun dan menyampaikan salam serta pesan Allah kepada Nabi Muhammad. Jibrail berkata, 'Wahai Muhammad, Allah mengucapkan salam kepadamu dan berpesan apabila bapa lelaki tadi datang ke sini, engkau perlu bertanya kepadanya apa yang ada dalam hatinya yang tidak pernah didengar oleh telinganya.'

     Tidak berapa lama kemudian, lelaki itu datang bersama bapanya. Nabi pun bertanya kepada bapa lelaki itu, 'Mengapa anakmu mengadu kepadaku dan mengatakan engkau hendak mengambil semua hartanya?'

     Bapa lelaki itu menjawab, 'Tanyakan sahaja kepadanya wahai Rasulullah.'

     Nabi berkata lagi, 'Sekarang ceritakan kepadaku apa yang kamu katakan dalam hatimu dan tidak pernah didengar oleh telingamu.'

     Wajah suram bapa lelaki itu berubah menjadi cerah dan gembira. Dia berkata, 'Demi Allah, Allah berkenan menambah kekuatan imanku dengan kerasulanmu. Memang aku pernah menangisi nasib malangku dan kedua-dua telingaku tidak pernah mendengarnya.'

     Nabi berkata, 'Katakanlah! Aku ingin mendengarnya.'

     Bapa lelaki itu melihat anaknya dan berkata dengan sedih sambil berlinangan air mata, 'Aku mengasuhmu sejak bayi, memeliharamu sewaktu kamu kecil, semua usahaku kamu ambil sepuas-puasnya. Apabila kamu sakit di waktu malam, hatiku resah dan gundah-gulana. Mataku terpejam tetapi aku tidak dapat tidur kerana memikirkan dirimu, seakan diriku yang sakit. Air mataku berlinang melihat kamu menderita. Hatiku dihantui ketakutan, takut maut datang menghampirimu.

     Apabila kamu dewasa dan mencapai apa yang kamu inginkan, kamu membalas jasaku dengan kekerasan, kekasaran dan kekejaman. Seolah-olah dirimu adalah pemberi nikmat. Kini kamu melayan aku umpama jiranmu yang jauh. Kamu tidak memenuhi hak kewajipanmu kepada bapa dan ibumu. Kamu sentiasa menyalahkan kami, membentak dan mengherdik bapa dan ibumu yang semakin tua. Seolah-olah hanya dirimu yang benar!'

     Ketika itu nabi terus menarik baju anaknya dan berkata, 'Dirimu dan harta kekayaanmu adalah milik ayahmu.'" (Hadis laporan Thabrani daripada Jabir) Hadis ini disebutkan di dalam Kitab as-Shoghir dan al-Ausath.

     Sebagai anak, kita wajib memberi ataupun mendermakan harta kita bagi mencukupkan keperluan ibu bapa kita, lebih-lebih lagi apabila mereka uzur dan tidak mampu lagi berusaha mencari rezeki seperti dahulu. Pada waktu itulah, seorang anak perlu menanggung keperluan orang tuanya seperti perintah Allah dalam ayat berikut:

     "Mereka bertanya kepadamu berkenaan apa yang mereka
     nafkahkan. Jawablah, 'Apa sahaja harta yang kamu
     nafkahkan, hendaklah kamu berikan kepada ibu bapa, kaum
     kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang
     sedang berada dalam perjalanan.' Apa sahaja kebajikan yang
     kamu lakukan, sesungguhnya Allah maha mengetahuinya."
     (Surah al-Baqarah, ayat 215)


Menjaga Ibu yang Tua dengan Baik

Dalam kehidupan moden hari ini, ada orang yang menganggap oran gyang lanjut usia sebagai beban dalam rumah tangga dan dengan itu, mewujudkan masalah. Ramai anak-anak pada hari ini yang sengaja menghantar orang tua mereka yang lanjut usia tinggal di rumah orang-orang tua.

     Kita tidak hairan apabila hal seperti itu berlaku di negara-negara barat namun sekarang ini, kita melihat ia juga berlaku di negara kita. Anak-anak tidak mahu lagi menjaga orang tua mereka malah mereka menganggap ibu ataupun bapa mereka yang tua menjadi beban pada mereka. Ibu adalah orang yang melahirkan kita, menyusukan kita, membimbing dan membesarkan kita. Bapa pula adalah orang yang berusaha mencari rezeki supaya kita dapat membesar dengan sempurna. Apabila seorang anak dewasa, dia menghantar ibu bapanya ke rumah orang tua. Adakah patut perbuatan itu?

     Allah berkata:

     "Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah
     selainnya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua
     orang tuamu dengan sebaik-baiknya. Sekiranya salah
     seorang antara mereka ataupun kedua-duanya sampai ke
     usia lanjut dalam penjagaanmu, janganlah kamu sekali-kali
     mengeluarkan kata 'ah' kepada mereka dan janganlah
     kamu membentak mereka. Berkata-katalah dengan
     kata-kata mulia kepada mereka dan rendahkanlah dirimu
     di hadapan mereka dengan penuh rasa kasih dan sayang."
     (Surah al-Israk, ayat 23 hingga 24)

Daripada ayat di atas, jelaslah kita perlu menjaga orang tua yang lanjut usia, bukannya melepaskan tanggungjawab dan menghantar mereka ke rumah orang tua. Sekiranya ada anak yang bertindak demikian, itu bererti dia derhaka kepada orang tuanya. Sampai hatinya membuang orang tuanya sendiri sewaktu orang tuanya memerlukan kasih sayang anak-anak di penghujung hidupnya. Pada waktu itulah, orang tua mahu menghabiskan sisa usianya bersama anak dan merasakan jagaan anak yang penuh rasa kasih sayang serta ikhlas seperti dia menjaga dan melindungi anaknya semasa kecil dahulu.

     Sesungguhnya menjaga ibu ataupun bapa yang tua adalah ladang ibadah bagi seorang anak. Ia adalah jalan memperoleh kemuliaan di sisi Allah. Ia membuka pintu-pintu rahmat Allah. Demi Allah, anak-anak yang tidak mensia-siakan orang tuanya yang lanjut usia, mereka pasti memperoleh keberkatan dalam hidupnya.


Berdoa untuk Ibu Semoga Allah Mengasihinya

Mengagungkan ibu, merendah diri di hadapannya, menunjukkan rasa kasih dan sayang serta taat menjadikan ibu reda kepada kita. Segala kebaikan yang kita lakukan kepada orang tua kita tidak mungkin cukup apabila kita membandingkannya dengan jerit payah, pengorbanan dan penderitaan yang ibu dan bapa kita alami selama mereka mengasuh dan mendidik kita hingga dewasa.

     Bakti kita kepada orang tua kita belum sempurna apabila kita tidak mendoakan kebaikan dan keampunan untuk mereka. Allah memerintahkan supaya anak-anak sentiasa mendoakan orang tua mereka, sama ada orang tua itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Allah berkata:

     "Ucapkanlah wahai anak, 'Ya Tuhanku, kasihanilah kedua ibu
     bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu
     aku kecil.'" (Surah al-Israk, ayat 24)

Mendoakan orang tua menjadi kayu pengukur kasih sayang seorang anak kepada orang tuanya. Apabila seorang anak rajin mendoakan supaya orang tuanya mendapat rahmat dan keampunan Allah, itu bererti anak itu adalah anak yang berbakti kepada orang tuanya.

     Berapa kalikah kita perlu berdoa untuk orang tua kita? Minimum, lima kali sehari semalam iaitu setiap kali kita menunaikan solat fardu. Maksimum, sebanyak mana yang kita mampu.

     Pernah seorang lelaki datang kepada seorang sahabat iaitu Sofyan at-Tsauri dan bertanya, "Berapa kalikah seorang anak perlu mendoakan kedua orang tuanya, adakah sekali sehari, sebulan sekali ataupun setahun sekali?" Sofyan menjawab, "Alangkah baik sekiranya kamu mendoakan mereka setiap kali selesai membaca tahiyat dalam solat." Maksudnya, selepas selesai membaca tahiyat sebelum mengucapkan salam.


Berterima Kasih dan Bersyukur

Orang yang berbakti kepada orang tua adalah orang yang tahu berterima kasih dan bersyukur kepada Allah serta kepada kedua-dua orang tuanya, terutama kepada ibu yang mengandungkannya, melahirkannya dan membesar serta membimbingnya hingga dewasa. Allah memerintahkan kepada kita supaya bersyukur kepadanya dan kepada orang tua seperti yang terkandung dalam ayat berikut:

     "Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu. Hanya
     kepada akulah kamu kembali." (Surah Lukman, ayat 14)

Perhatikanlah bagaimana Allah menjalankan perintahnya supaya manusia bersyukur kepada Allah sekali gus bersyukur kepada kedua ibu bapa. Ini bererti, Allah tidak menerima perbuatan bersyukur hanya kepadanya sahaja tanpa bersyukur kepada kedua ibu bapa.

     Ibnu Abbas berkata, "Di dalam Quran, ada tiga ayat yang menerangkan berkenaan ibadah ataupun amalan yang berkait antara satu dengan yang lain. Maksudnya, Allah tidak menerima satu ibadah itu tanpa yang satu lagi." Ayat-ayat yang dimaksudkan itu adalah:

     1.   Athiiullaaha wa athiiur rosuul.

           Maksudnya, 'Taatlah kepada Allah dan rasul. Sesiapa
           yang taat kepada Allah tetapi tidak taat kepada rasul,
           maka Allah tidak menerima ketaatannya.'

     2.  Aqimus sholaaa wa aatuz zakaata.

          Maksudnya, 'Dirikan solat dan keluarkan zakat. Siapa
          yang mengerjakan solat tetapi enggan berzakat, Allah
          tidak menerima solatnya.'

     3.   Anisykurlii wali waalidaika.

           "Bersyukur kepadaku dan kepada ibu dan bapamu. Siapa
           yang bersyukur kepada Allah tetapi tidak bersyukur
           kepada ibu dan bapanya, Allah tidak menerima rasa
           syukurnya."

Bersyukur adalah memanfaatkan semua kemudahan yang diberikan oleh pemberi nikmat sesuai dengan kehendak pemberi nikmat iaitu Allah. Allah yang memberi nikmat kepada kita dan dia mengkehendaki kita memanfaatkan pemberiannya itu. Caranya adalah dengan memanfaatkannya sebagai ibadah, mentaati semua perintahnya dan menjauhi semua larangannya.

     Bersyukur kepada orang tua bermaksud, mentaati dan patuh kepada orang tua selagi ketaatan dan kepatuhan itu tidak menyimpang daripada perintah Allah. Semua ketaatan dan kepatuhan kepada orang tua disebut birrul walidaini iaitu berbuat baik kepada ibu dan bapa, baik ketika mereka masih hidup mahupun selepas mereka meninggal dunia.

     Kita berbakti kepada orang tua apabila apa sahaja yang kita lakukan menjadikan hatinya reda dan gembira. Sebaliknya, kita menderhaka kepada ibu bapa apabila perkara-perkara yang kita lakukan menjadikan mereka tidak reda, marah ataupun susah. Hal ini disebut uququl walidaini.

     Sehubungan itu, nabi berkata:

     "Keredaan Allah itu bergantung pada keredaan ibu dan
     bapa. Kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan
     ibu dan bapa."


Sepuluh Hak Orang Tua yang Wajib Dipenuhi

Di dalam Kitab Dorrotun Nasihin, disebutkan 10 jenis hak orang tua ke atas anak-anaknya. Hak-hak itu adalah seperti berikut:

     1.   Memenuhi keperluan makannya.

     2.   Melayani semua keperluannya.

     3.   Menjawab panggilannya.

     4.   Mentaati semua perintahnya selagi perintah itu bukan perkara maksiat.

     5.   Berkata-kata dengan lemah lembut dan tidak memarahinya.

     6.   Memberikan pakaian secukupnya.

     7.   Berjalan di belakangnya.

     8.   Berusaha supaya orang tua sentiasa reda kepadanya.

     9.   Tidak menyukai apa yang orang tua tidak suka.

     10.  Berdoa dan memohonkan keampunan untuk ibu bapa dan diri sendiri.









N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA IBU", OLEH SYAMSUDDIN NOOR.